Isnin, 14 Mac 2011

Pemilik kenderaan tidak puas hati saman boleh mengadu

KLUANG - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata, pemilik kenderaan yang tidak berpuas hati dan berasa tidak adil dengan saman yang dikenakan boleh tampil membuat aduan bagi memperbetulkan keadaan. 

"Kita tidak mahu menganiaya mana-mana pihak. Kalau ada yang tidak mampu bayar sekali pun, kita minta mereka tampil supaya kita dapat mencari jalan menyelesaikan saman tersebut," katanya. 

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat kelompok cawangan UMNO Bahagian Sembrong, di Felda Kahang Barat, di sini hari ini, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau berterima kasih kepada pemilik kenderaan yang telah menjelaskan bayaran saman mereka. 

Beliau juga menyatakan puas hati dengan tempoh lanjutan bayaran saman dengan diskaun.

Dalam pada itu, Hishammudin meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan perbincangan bagi menyelaras sistem kutipan bayaran saman trafik. 

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk agensi berkenaan mewujudkan satu sistem yang lebih efisyen dan koordinasi penguatkuasaan yang lebih baik.-Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...