Sabtu, 12 Mac 2011

Rompakan bersenjata

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang melakukan rompak berkumpulan bersenjatakan sepucuk pistol terhadap sepasang suami isteri dua bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam. 

Mohd Zamani Berahim, 34 dituduh bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas merompak Onn Azli Puade dan Sarah Iskandar Zulkarnain semasa di rumah mereka di Lorong Pok The Soh, Jalan Raja Perempuan Zainab II, Kubang Kerian, 31 Januari lalu. 
Dalam kejadian jam 3 petang itu, mereka didakwa melarikan sebuah motokar jenis Toyota Vios WPK 8870, dua komputer riba, Twinhead dan Apple Ipad serta dua telefon bimbit, Nokia E90 dan Sony Ericson Satio milik mangsa. 

Turut dilarikan, empat topi keledar Arai, dua kasut boot, wang tunai RM414 dan beg duit milik kedua-dua pasangan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) kampus Kubang Kerian itu. 

Jika disabitkan, tertuduh boleh diseksa dengan penjara sehingga tempoh selama 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 379 kanun sama akibat rompak berkumpulan menggunakan senjata. 

Pada prosiding bermula jam 11 pagi itu, tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon dirinya dibicarakan atas tuduhan tersebut. 

Berikutan kesalahannya serius, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nor Hilwani Mat Rifin tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan bimbang tertuduh tidak hadir pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan. 

Peguam belanya, Mohd Alami Nazin bagaimanapun memohon mahkamah untuk membenarkannya mengikut budi bicara mahkamah di bawah peruntukkan 388 Kanun Keseksaan. 

“Nilai jaminan tinggi dan membebankan tertuduh akan memastikan kehadirannya ke mahkamah,” katanya. 

Hakim Zainal L. Salleh kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM10,000 dan kes akan disebut semula 10 April depan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...