Rabu, 23 Mac 2011

Suspek bukan orang tempatan

SERI MANJUNG - Dua lelaki berjaya ditangkap kerana disyaki melakukan kegiatan pecah rumah dan rompakan di sekitar kawasan Sitiawan, 17 Mac lalu hasil daripada laporan yang dibuat seorang wanita. 

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, wanita berkenaan mengemukakan laporan mengatakan rumahnya di pecah masuk dan kehilangan barangan elektrik serta wang tunai 

Menurutnya, pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung melaksanakan satu operasi untuk menjejaki suspek. 
“Hasil maklumat yang diperoleh, kita berjaya mengesan sebuah kereta jenis Mitsubishi putih di hadapan sebuah kedai berdekatan Hotel Flamingo, Sitiawan. 

“Kereta ini cuba disekat namun enggan berhenti menyebabkan anggota polis terpaksa memotong dan menghalangnya,” katanya ketika ditemui di IPD Manjung, Jumaat lalu. 

Mohd Jamil berkata, kereta itu bagaimanapun telah dapat diberhentikan setelah melanggar kereta yang dinaiki anggota polis. 

Menurutnya, polis mendapati dua lelaki itu berasal dari Johor Bahru, pemandu berumur 31 tahun tidak bekerja dan mempunyai satu rekod silam yang dijatuhkan hukuman atas kesalahan pecah rumah, serta dua rekod di kehendaki atas kesalahan pecah rumah dan kes dadah di bawah Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. 

“Sementara penumpang berumur 25 tahun, tidak bekerja dan mempunyai dua rekod lampau yang dijatuhi hukuman berhubung kes dadah dan kecurian kenderaan, serta satu rekod dikehendaki berkaitan kes dadah di bawah Seksyen 12 (3) ADB 1982,” katanya. 

Beliau berkata, pemeriksaan dalam kereta itu, pihaknya menemui sebuah TV LCD, satu alat GPS, dua resit deposit tetap atas penama lain, satu beg putih, tiga beg hitam dan tiga beg tanpa jenama. 

“Turut ditemui adalah dua penukul besi, satu pemutar skru yang diubahsuai, satu gergaji besi, satu gerudi, satu botol gas pembakar dilekatkan dengan tape hitam dan satu paket kecil disyaki berisi dadah jenis syabu. 

“Kedua-dua suspek telah disoal siasat dan setakat ini mereka mengaku melakukan tiga kes pecah rumah di sekitar kawasan Sitiawan,” katanya. 

Katanya, kedua-dua suspek kini di reman untuk membantu siasatan dan pihaknya percaya kedua-dua suspek terlibat dalam lebih tiga kes pecah rumah sekitar daerah ini. 

“Bermakna, bukan hanya orang tempatan yang melakukan jenayah di daerah ini, malah orang luar daerah ini turut melakukan jenayah. 

“Polis juga percaya suspek sebenarnya bergerak seramai tiga orang, suspek ketiga dipercayai orang tempatan yang bertindak sebagai penunjuk lokasi bagi mereka melakukan kegiatan pecah rumah di sini,” katanya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...