Sabtu, 19 Mei 2012

113 individu terlibat rusuhan Bersih 3.0 masih diburu


Image Detail
KUALA LUMPUR 19 Mei - Polis masih memburu 113 lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kekecohan semasa perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata daripada 141 individu yang gambarnya disiarkan media, seramai 28 orang telah ditahan dan menyerah diri.

Katanya sejak polis melancar operasi menahan secara besar-besaran pada Rabu lepas, dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kekecohan pada perhimpunan itu telah ditahan, masing-masing di Kulai, Johor dan di Kemaman, Terengganu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sukan rakyat Polis Bersama Masyarakat sempena sambutan Hari Polis ke-205, di Kerinchi, di sini, hari ini.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka mempunyai kaitan dengan parti politik," kata Mohmad, dan enggan mendedahkan lebih lanjut.

Setakat ini, katanya dua anggota polis dan tiga orang awam didakwa di mahkamah di sini berhubung perhimpunan itu. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...