Isnin, 14 Mei 2012

Pengurus wanita parah ditikam


Image Detail
KUALA LUMPUR 13 Mei - Disebabkan terlalu marah kerana dipecat, seorang bekas warden sebuah rumah kebajikan di Jalan SS 14, Subang Jaya dekat sini hilang kewarasan apabila bertindak menikam bertubi-tubi seorang pengurus wanita di kediaman itu semalam.

Dalam kejadian tengah malam itu, mangsa berusia 50 tahun yang merupakan Pengurus Rumah Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh iaitu sebuah pertubuhan yang memberi perlindungan kepada remaja perempuan hamil luar nikah, bernasib baik kerana tikaman tersebut tidak membunuhnya.

Malah, suspek yang merupakan penagih dadah dapat diberkas oleh seorang warden lain yang menyedari kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa walaupun mengalami kecederaan masih sempat menghubungi sendiri Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk memaklumkan kejadian itu dan meminta bantuan.

Beliau berkata, polis yang melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati suspek memecah masuk ke dalam rumah teres dua tingkat itu melalui tingkap di bahagian bawah rumah berkenaan pada pukul 11 malam.

"Suspek kemudian dilihat terus naik ke bilik tidur mangsa di tingkat atas sebelum duduk di atasnya dan menikam mangsa bertubi-tubi di dada dan perut.

"Insiden serangan itu bagaimanapun disedari oleh seorang warden yang bertugas di rumah kebajikan tersebut dan segera bertindak menangkap suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil ketika ini.

Menurut Yahaya, suspek berusia 49 tahun diserahkan kepada polis untuk direman selama lima hari bermula semalam bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(5) Akta Dadah Berbahaya.

Katanya, polis percaya suspek menyerang mangsa kerana marah kerana dipecat tiga hari lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...