Khamis, 24 Mei 2012

Polis tahan pengusaha stesen minyak disyaki miliki senjata api


Image Detail
KAJANG: Seorang pengusaha stesen minyak ialah antara tiga lelaki yang ditahan polis kerana disyaki memiliki selaras senapang patah tanpa lesen selain selaras senapang angin, di sekitar Kajang sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata pengusaha stesen minyak berusia 43 tahun itu ditahan 2.25 petang semalam di rumahnya di Sungai Ramal Dalam di sini. 


Polis turut merampas senjata-senjata terbabit serta 50 biji 'ball bearing' di lokasi itu, katanya kepada pemberita hari ini. 

Abdul Rashid berkata polis sebelum itu menahan seorang pembantu kedai makan berusia 33 tahun di Kampung Sungai Ramal Dalam pada 11.30 malam, Isnin lepas, kerana disyaki terbabit dalam kes itu.


Seorang lagi suspek berusia 42 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kajang pada hari sama (Isnin) bagi membantu siasatan.


Kesemua suspek lelaki itu ditahan reman sehingga Sabtu mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. 

Abdul Rashid berkata mereka ditahan berikutan maklumat orang awam. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...