Selasa, 26 Jun 2012

KESELAMATAN ANGGOTA RELA DAN JPAM JUGA PERLU DIFIKIRKAN ???


rondaan

PDRM perluas rondaan di sekolah seluruh negara

KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperluaskan rondaan di sekolah seluruh negara terutamanya di kawasan berisiko bagi memantau keselamatan pelajar, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. 

Beliau berkata, anggota polis dengan bantuan Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) akan melakukan rondaan di kawasan sekolah pada waktu pagi, tengah hari dan petang.
"Kita sudah memperkenalkan program rondaan ini di sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur dan Selangor sejak dua bulan lalu dan selepas ini kita akan melanjutkan program seumpama ini ke semua sekolah berisiko tidak lama lagi.
"Dengan program yang dilaksanakan ini, masyarakat akan menyedari kehadiran pihak berkuasa di kawasan panas dan sering berlaku jenayah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi dan Menutup Majlis Peringatan Hari Polis di Pulau Duyong, di sini, hari ini. 

Khalid berkata, dengan inisiatif yang dilakukan itu, masyarakat akan merasa lebih selamat. 

Katanya, dua anggota polis dan tiga anggota RELA akan melakukan rondaan itu, namun jumlah tersebut bergantung mengikut kesesuaian sesuatu tempat berkenaan. 

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih memantau beberapa sekolah yang dianggap berisiko untuk menempatkan anggota keselamatan bagi memantau keselamatan pelajar.

Sementara itu, beliau berkata kira-kira 100,000 pegawai dan anggota polis digerakkan dalam melakukan rondaan bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan RELA di bawah program Rondaan 1Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara. 

Melalui program yang dimulakan tahun lalu itu, indeks kadar jenayah negara berjaya diturunkan sebanyak 10.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei 2012 berbanding tempoh sama tahun lalu. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...