Jumaat, 29 Jun 2012

Perompak acu parang di leher


Perompak acu parang di leher
JERANTUT - Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, N Balasubramaniam kerugian RM30,700, apabila kediamannya di Taman Bukit Pedah, dekat sini, dipecah masuk kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Balasubramaniam berkata, kejadian berlaku selepas 10 minit dia meninggalkan rumahnya untuk berurusan di bandar Jerantut, manakala isterinya, N Letchmy, 54, keluar bekerja dan hanya anaknya, Koshini, 25, berada di rumah.

Menurutnya, anaknya terpaksa menerima beberapa jahitan di tangan akibat dicederakan perompak terbabit.

“Semua bahagian kediaman saya digeledah, malah cermin di bilik tidur juga dipecahkan.

“Beg sandang yang digunakan untuk kerja, dua komputer riba, dua telefon mudah alih, wang tunai, barang kemas dan koleksi wangian berjenama semua dilarikan perompak,” katanya.
Anaknya, Koshni berkata, dia tergamam melihat empat lelaki masuk ke dalam rumahnya sambil memegang parang.
Menurutnya, dua daripada lelaki itu kemudiannya mengacukan parang di lehernya, manakala dua lagi menggeledah keseluruhan bahagian rumah.

“Saya turut disepak, ditampar dan dilempar dengan pelbagai objek.

Mereka juga cederakan tangan saya dan ugut mencederakan leher saya jika tidak tunjuk tempat simpanan barang berharga.
“Selepas menggeledah semua bahagian rumah, mereka kurung saya dalam bilik air. Apabila mendengar keadaan sedikit tenang, saya berusaha keluar melarikan diri ikut pintu dapur, lalu ke rumah jiran meminta tolong dan menghubungi ibu bapa saya memaklumkan kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail berkata, Balasubramaniam adalah mangsa samun kedua semalam, selepas kejadian pertama berlaku di Taman Berlian kira-kira jam 8 pagi.
Menurutnya, mangsa pertama adalah M Velo dan isterinya, A Mahaswari yang kerugian RM35,000, apabila wang tunai dan barangan kemas dilarikan perompak.
“Suspek yang memecah masuk dua kediaman ini dipercayai dilakukan empat lelaki menggunakan senjata parang dan menaiki kenderaan jenis Toyota Altis berwarna putih.
“Kes yang berlaku di Taman Berlian akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata berkumpulan, manakala bagi kes di Taman Bukit Pedah disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, berikutan samun mendatangkan kecederaan,” katanya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...