Rabu, 4 Julai 2012

KDN anjur taklimat isu semasa keselamatan di Terengganu


KUALA TERENGGANU - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempelawa mereka yang berminat menghadiri Program Taklimat Isu-isu Semasa (Keselamatan) bertempat di Auditorium Taman Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian  Negara (JKKN) Terengganu di Kuala Ibai di sini pada 10 Julai ini.

Program itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Terengganu di mana ia merupakan yang pertama diadakan di bahagian Zon Timur sebelum diteruskan di dua negeri lagi di pantai timur iaitu Pahang dan Kelantan.

Timbalan Setiausaha Komunikasi Korporat KDN, Zuraidah Zainuddin berkata tujuan program itu diadakan adalah bagi memberi persepsi kesedaran keselamatan negara semasa terhadap pemimpin masyarakat sebelum diturunkan kepada masyarakat umum mengenai usaha kerajaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). 

"Orang ramai ataupun mana-mana agensi yang berminat berpeluang mendengar sendiri penerangan semua isu yang terkandung dalam NKRA yang akan dikupas secara terperinci, malah mereka juga boleh berinteraksi dengan mengajukan soalan. 

"Kita baru sahaja selesai jelajah peringkat Zon Selatan di mana destinasi seterusnya akan mulakan jelajah pertama di sini bagi Zon Timur sebelum diteruskan ke dua lagi negeri pantai timur lain iaitu Pahang dan Kelantan,"katanya.
    
Beliau berkata pihaknya mengganggarkan seramai 500 orang dari kalangan kakitangan jabatan kerajaan dan swasta, pelajar universiti dan wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan mengikuti program itu.

Taklimat akan disampaikan oleh panel jemputan antaranya wakil Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; wakil panel Jabatan Imigresen Malaysia serta wakil KDN Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam. 

Program dijadualkan bermula pukul 8 pagi dan mereka yang berminat boleh terus datang ke auditorium berkenaan pada hari tersebut. -- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...