Jumaat, 10 Ogos 2012

PDRM Akan Berusaha Habis-habisan Banteras Jenayah, Kata Pengarah JSJ


KOTA KINABALU, 9 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha habis-habisan dalam membanteras jenayah untuk meningkatkan keselamatan orang ramai serta mengekalkan undang-undang dan ketenteraman di negara ini, kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata berbeza dengan tanggapan kebanyakan orang, tugas mencegah jenayah sebenarnya bukan melibatkan JSJ semata-mata, tetapi seluruh pasukan polis "dan oleh itu orang ramai perlu mempunyai keyakinan terhadap polis".

"Keselamatan orang ramai menjadi keutamaan kami. Malah, di Sabah, anggota Pasukan Gerakan Am juga turun padang untuk membantu memerangi jenayah, khususnya di bandar utama.

"Saya percaya, melalui usaha bersepadu, termasuk kerjasama daripada orang ramai, kami akan dapat mengurangkan kadar jenayah dan di Sabah, kadar jenayah terus menurun... ini sesuatu yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai penyiasatan dan pendakwaan berkaitan undang-undang baru di sini hari ini.

Mohd Bakri berkata polis juga berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan standard penyiasatan dan proses pendakwaaannya bagi meningkatkan imej pasukan itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...