Ahad, 26 Ogos 2012

Permainan judi mesin slot ‘Funky Monkey’ bawa bencana


JUDI...permainan Funky Monkey atau Monyet Ceria.
KUALA LUMPUR: Permainan judi mesin slot ‘Funky Monkey’ atau lebih dikenali sebagai ‘Monyet Ceria’ kini antara yang menjadi kegilaan kebanyakan kaki judi di sekitar ibu kota untuk bertaruh bagi memenangi wang tekaan.

Berselindung di sebalik kafe siber dan pusat komputer, pihak yang menjalankan perjudian itu kini mempertaruhkan permainan Monyet Ceria sebagai permainan utama kepada pelanggan sebelum mereka tewas ribuan ringgit.


Tinjauan di beberapa pusat siber di Kepong, Cheras, Bangsar dan pusat bandar raya mendapati permainan itu menjadi pilihan utama pelanggan dengan tekaan hanya bermodal RM1, mereka layak memenangi sehingga RM800.


Bukan hanya dikunjungi pelanggan dewasa, malah permainan terbabit turut disukai pelajar dan remaja yang terjebak gejala sosial itu selepas diajak rakan.


Wartawan yang memasuki pusat judi di Kepong dan pusat bandar selama enam jam difahamkan premis terbabit dibuka 24 jam sehari dengan menawarkan pelbagai permainan judi untuk dipertaruh.



Selain Funky Monkey antara menjadi pilihan ialah Rockin Roller, Nepiunes Kingdom, Safari, Haunted House, Magic Scots dan Real Classic.



Melalui perbualan bersama penjaga premis judi di Kepong, difahamkan pemilik perniagaan itu meraih hampir ratusan ribu ringgit sehari selepas pusat judi terbabit dikunjungi ramai pelanggan.


“Sekarang ini, ramai bertaruh Funky Monkey, ada yang menang dan ada yang kalah. Kalau beli seringgit boleh menang RM800, kalau RM2 dapat RM1,600, kalau beli banyak, puluhan ribu boleh menang,” katanya.



Funky Monkey adalah permainan judi memerlukan setiap barisan slot menyamai urutan objek dikehendaki antaranya 1Bar, 2Bar, 3Bar, objek pisang, cermin mata, kelapa muda, pokok dan gendang.


Bagi hadiah terbesar, sekiranya semua gendang menyamai garisan slot, tekaan RM1 mampu memenangi RM800 dan seterusnya. Namun, kebanyakan pelanggan ditemui dan bertaruh hanya menggelengkan kepala selepas kalah ribuan ringgit.



Pelanggan dikenali sebagai Pak Kadir, 52, yang juga pemandu bas berkata, setiap hari dia mengunjungi pusat judi dan bermain Funky Monkey selepas ketagih sejak setahun lalu.



“Kalau diikutkan bermain judi komputer ini, puluhan ribu saya kalah, tetapi apakan daya sukar meninggalkan tabiat buruk ini. Setiap hari mesti bertaruh walau sekali,” katanya.



Pak Kadir ketika ditemui di sebuah premis di Kepong berkata, sepanjang berjudi, dia banyak kalah berbanding menang


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...