Selasa, 7 Ogos 2012

Suami Isteri Bersahur Dalam Keadaan Mencemaskan Bila Didatangi Penyamun


BENTONG, 6 Ogos (Bernama) -- Sepasang suami isteri terpaksa bersahur dalam keadaan mencemaskan bila empat penyamun bersenjatakan parang memecah masuk rumah mereka di Kampung Plentong, Karak, dekat sini awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Aziz Salleh berkata dalam kejadian pada pukul 4.00 pagi itu, penyamun terbabit dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu depan yang diumpil menggunakan pemutar skru.

"Suspek kemudiannya mengacukan parang ke arah mangsa, masing-masing berusia lingkungan 40-an, dan mengikat mereka.

"Selepas mengikat tangan mangsa, seorang daripada suspek mengawal mangsa manakala tiga lagi menggeledah rumah mereka sebelum mengambil wang tunai RM500, telefon bimbit serta barang kemas yang ditemui dalam almari di bilik tidur mangsa," kata Aziz ketika dihubungi.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Karak dan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bergegas ke tempat kejadian bersama Unit Anjing Pengesan (K-9).

Aziz berkata, selepas kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...