Rabu, 12 September 2012

Jurujual nyaris maut ditembak di luar pusat hiburan di Ipoh


IPOH: Seorang jurujual terpaksa berlindung di belakang keretanya apabila seorang lelaki melepaskan beberapa tembakan ke arahnya dalam kejadian di Jalan Lau Phak Kuan di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohamad Shukri Dahalan berkata kejadian berlaku pukul 3.30 pagi ketika lelaki berusia 43 tahun itu keluar dari sebuah pusat hiburan menuju ke keretanya. 


"Ketika berjalan, dia terdengar dua das tembakan dilepaskan ke arahnya menyebabkan dia menyelamatkan diri dengan berlindung di belakang keretanya," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Perak, di sini. 

Jurujual itu mendakwa dia ternampak seorang lelaki melarikan diri dengan sebuah motosikal setelah melepaskan tembakan tersebut, kata Mohamad Shukri.



Katanya mangsa kemudian masuk semula ke pusat hiburan itu kerana bimbang suspek akan kembali, dan apabila keluar semula beberapa jam kemudian mendapati terdapat beberapa kesan tembakan pada keretanya.


Mengulas kes berbeza, Mohamad Shukri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian pecah kedai emas di pekan Sungai Siput pada 3 Sept lalu tampil membantu siasatan. 

Katanya polis sedang menjejaki seorang lelaki berusia antara 25 dan 30 tahun yang dirakam menerusi kamera litar tertutup premis ketika kejadian, sementara tiga rakannya mengangkut keluar barangan kemas terbabit. 

Mereka yang mempunyai maklumat boleh hubungi Pejabat Polis Daerah Sungai Siput di talian 05-5982222 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Insp. Mohd Othman di talian 019-2549135, katanya. 

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, penjenayah bertindak menebuk dinding premis melalui sebuah kedai kosong di sebelahnya dan melarikan barangan kemas bernilai RM500,000. - Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...