Jumaat, 21 September 2012

Kereta dilarikan, doktor wanita cedera


doktor wanita cedera
KOTA BHARU- Seorang doktor wanita terpaksa bergelut hampir 20 minit, dengan lelaki yang tidak dikenali selepas keretanya, cuba dilarikan penjenayah terbabit di dalam kawasan pagar rumahnya, di Kampung Demit, KubangKerian,  pagi kelmarin.

Tindakan berani mangsa, Ida Zarina Zaini, 38, yang cuba menyelamatkan kenderaan jenis Nissan Grand Livina itu, menyebabkan dia terjatuh dan terseret sehingga menyebabkan kaki dan serta tangan kirinya mengalami kecederaan.

Menurut Ida Zarina, ketika kejadian kira-kira jam 7 pagi, dia sedang bersiap-siap untuk menghantar tiga anaknya ke sekolah, manakala seorang lagi ke pusat jagaan kanak-kanak.

“Saya undur kereta separuh dari tiang pagar dan berhenti bagi mendapatkan anak-anak saya yang menunggu di dalam rumah, tanpa saya sangka, salah seorang anak saya, nampak ada lelaki menerpa masuk ke dalam kereta.

“Curiga dengan tindakan lelaki itu, saya terus merapati pintu bahagian tempat duduk pemandu di hadapan dan terkejut apabila lelaki itu terus menukar gear dan cuba mengundur kereta dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di wad sementara Hospital Univerisiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, petang kelmarin.

Doktor di jabatan kecemasan HUSM itu berkata, walaupun takut dengan tindakan lelaki itu, namun dia memberanikan diri masuk ke dalam kereta dan menegur lelaki itu namun penjenayah itu membisu.

“Saya tanya dia apa yang dia cuba buat? Namun tiada jawapan dan dia terus bertindak mengundurkan kereta dalam keadaan tergesa-gesa.

“Ketika itu saya hanya sempat menjengah masuk separuh dari badan sebelah kanan saya ke dalam kereta manakala separuh dari badan sebelah kiri berada di luar dan berlaku sedikit pergelutan antara saya dan dia (penjenayah).

"Namun tindakannya yang ganas, menyebabkan saya terpaksa mengalah dan akhirnya saya terjatuh dari kereta itu,” katanya.

Walaupun masih trauma dengan kejadian itu, namun dia bersyukur, dirinya selamat dan anak-anaknya juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saya harap pihak polis dapat selesaikan kes ini dan mengenal pasti lelaki itu.

“Wajahnya masih jelas dalam ingatan dan saya boleh cam mukanya sekiranya polis berjaya memberkas penjenayah itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa kini ditempatkan di HUSM untuk rawatan susulan.

“Mangsa mengalami kerugian bernilai RM80,000 dalam kejadian itu. Setakat ini polis giat memburu suspek berusia dalam lingkungan 30 tahun yang melarikan kereta wanita itu," katanya.

Azham berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti suspek terbabit dan berdasarkan lakaran wajah gambar lelaki itu, mangsa dapat cam wajah suspek. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...