Ahad, 9 September 2012

PDRM didesak buka kaunter


SERDANG – Masyarakat sekitar Serdang dan Seri Kembangan mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kaunter bayaran saman di lokasi Balai Trafik Seri Kembangan yang ditutup sebelum ini.

Operasi balai berkenaan ditutup dan kaunter bayaran saman dihentikan awal tahun lalu apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berpindah dari Taman Equine ke bangunan baru di Bandar Kinrara, Puchong.

Penyelaras Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, penduduk Seri Kembangan dan Serdang menyatakan kesukaran mereka membuat laporan kes kemalangan dan membayar saman kerana pejabat polis trafik terletak agak jauh.

Beliau berkata, rayuan berkenaan dibuat supaya memudahkan masyarakat untuk membuat urusan berkenaan.

Katanya, kini mereka yang terbabit kes kemalangan di Seri Kembangan dan Serdang terpaksa ke Puchong untuk membuat laporan dan menjelaskan saman mereka.

Tambah beliau, surat rayuan berkenaan perkara itu sudah dihantar kepada IPD Serdang dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada bulan Mei lalu.

Permohonan katanya diharap dapat dipertimbangkan selaras dengan konsep 1 Malaysia di mana rakyat perlu didahulukan.

“Saya juga ada mengemukakan cadangan supaya PDRM mewujudkan Balai Polis Bandar Putra Permai untuk memberi perkhidmatan kepada lebih 100,000 orang penduduk kawasan ini.

“Ketika ini mereka yang tinggal di kawasan itu terpaksa ke Balai Polis Seri Kembangan atau Balai Polis Serdang bagi melaporkan sebarang kes yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menganggap bahawa keperluan begitu mendesak untuk mewujudkan balai polis dengan segera.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...