Jumaat, 14 September 2012

Penduduk Buat Laporan Polis Khutbah Jumaat Berbaur Politik Di Masjid Padang Serai

Gambar hiasan

PADANG SERAI, 13 Sept (Bernama) -- Sekumpulan penduduk dalam kariah Pekan Padang Serai di sini pada Khamis membuat laporan polis berhubung khutbah yang dibacakan khatib jemputan di Masjid Jamek An-Najjah di sini, Jumaat lepas, yang didakwa berbaur politik.

Mereka mendakwa khutbah Jumaat yang disampaikan khatib jemputan, berusia 29 tahun dari Kulim dekat sini, ada menyebut bahawa seorang mursyidul dan ulamak Ikhwanul Muslimin dari Mesir pernah bermimpi bertemu Nabi Muhammad SAW pada 1998 yang menyebut akan wujud seorang pemerintah Malaysia bernama Anwar Ibrahim.

"Khatib itu dalam khutbahnya juga memuja dan memuji kewibawaan pemimpin pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan jelas menyadurkan khutbah Jumaat yang mulia itu dengan seorang pemimpin politik. Kami amat kesal atas tindakan pentadbiran masjid yang membiarkan perkara tidak sewajarnya berlaku," kata Mohd Taridi Darus, 52, ketua kumpulan kariah itu kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Padang Serai di sini.

Mohd Taridi dari Taman Serai Setia di sini meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah menyiasat tindakan pihak masjid menerima khatib jemputan setiap minggu.

Beliau berkata khutbah itu dirakam oleh jemaah yang hadir bersolat Jumaat pada hari berkenaan. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...