Rabu, 3 Oktober 2012

Rasuah: Didakwa tukar keputusan air kencing


ALOR SETAR – Dua lelaki termasuk seorang bekas polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah untuk menukar air kencing positif dadah pada tahun lepas.
Bekas anggota polis, Hashim Said, 58, dan Shahfarid Subry, 26, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan terbabit.
Bagi kes pertama, Hashim dituduh menerima rasuah untuk diri sendiri wang tunai RM500 daripada Shahfarid sebagai dorongan untuknya yang ketika itu merupakan sarjan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Sungai Petani untuk menukar air kencing Ammar Azmi, 19, yang positif dadah kepada negatif.
Shahfarid pula dituduh menerima untuk Hashim wang tunai RM500 daripada Azmi Hashim, 51, sebagai dorongan kepada Hashim untuk menukar air kencing Ammar.
Hakim Mohd Sabri Ismail menetapkan jaminan untuk kedua-dua tertuduh masing-masing RM5,000 dan seorang penjamin.
Mohd Sabri menetapkan sebutan semula kedua-dua kes itu pada 20 November depan untuk penyerahan dokumen dan membolehkan tertuduh melantik peguam. – BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...