Jumaat, 19 Oktober 2012

ROMPAKAN KEDAI EMAS DI IPOH


Nekad larikan barang kemas
IPOH – Empat lelaki yang bersenjatakan pistol, tukul dan kapak bertindak nekad melarikan lapan dulang barang kemas dianggarkan bernilai lebih RM300,000 dalam kejadian samun di Jalan Sultan Iskandar, kira-kira jam 1.20 petang, semalam.

Kumpulan penjenayah itu telah mengacu pistol kepada salah seorang pekerja dan memecahkan cermin pameran kedai emas itu sebelum melarikan diri dengan dua motosikal menghala ke Ipoh Padang.

Pemilik kedai yang dikenali sebagai Wai Choo, 60-an berkata, dia yang berada di bahagian belakang terkejut apabila terdengar bunyi kaca pecah sebelum melihat empat lelaki memakai topi keledar melarikan diri.

“Empat pekerja saya masih berasa takut dengan kejadian ini kerana salah seorang daripada mereka telah diacukan pistol di bahagian leher. Kejadian ini berlaku sekejap sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, kesemua suspek menggunakan motosikal jenis Honda EX5 yang tidak pasti nombor pendaftarannya.

“Suspek menyerbu masuk kedai dan mengarahkan seorang pengawal keselamatan tidak bersenjata dan tidak mempunyai pakaian seragam meniarap dan terus memecahkan cermin pameran.

“Namun, tiada tembakan dilepaskan serta tiada kecederaan berlaku dalam kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan menggunakan senjata.

“Polis juga telah mengesan dua motosikal dipercayai milik suspek di Gunung Cheroh, kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian samun itu.

“Bagaimanapun, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh atau balai berhampiran,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...