Rabu, 10 Oktober 2012

Trauma selepas disamun


Trauma selepas disamun
Mangsa luka selepas diserang dua lelaki ketika berhenti di tepi jalan

IPOH - “Sehingga hari ini, saya amat takut dan trauma untuk memberhentikan kereta di tepi jalan, bimbang kejadian sama berulang,” kata K J Looi, 41, mangsa samun dalam satu kejadian di perhentian bas Jalan Medan Ipoh, di sini.

Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.10 petang itu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas singgah di bank untuk mengeluarkan wang sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun, ketika membuat pusingan U untuk menghala ke rumahnya dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada majikannya.

“Saya memberhentikan kereta berhampiran perhentian bas untuk membaca SMS dan pada waktu yang sama kira-kira lima minit kemudian, muncul dua lelaki bermotosikal dan membuka pintu tempat duduk pemandu.

“Seorang lelaki berusia lebih kurang 50 tahun bertanya pada saya di mana arah Jalan Kampar namun cara mereka yang membuka pintu kereta secara tiba-tiba membuatkan saya curiga.

“Ketika saya cuba menutup pintu, lelaki terbabit bersama rakannya yang berusia lebih kurang 30 tahun menggunakan senjata tajam mencederakan tangan kiri saya serta merampas telefon pintar jenama HTC yang bernilai lebih RM2,000 dan terus melarikan diri,” katanya ketika ditemui semalam.

Looi berkata, selepas kejadian dia bergegas ke Unit Kecemasan sebuah hospital di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, dia mendakwa pihak kecemasan hospital itu hanya mencuci luka dan membiarkannya menunggu selama empat jam tanpa melakukan sebarang rawatan lanjut.

“Akibat tidak berpuas hati terhadap layanan itu, saya pergi ke sebuah hospital swasta dan menerima 20 jahitan di tangan kiri.

“Saya terpaksa membelanjakan RM6,000 untuk mendapatkan rawatan di hospital tersebut,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...