Khamis, 15 November 2012

Bayang pencuri dalam bilik


Bayang pencuri dalam bilik
MARANG – "Saya terkejut apabila melihat pencuri itu memegang pisau dan cuba keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri,” kata Mohd Jailani Jaafar, 41, dari Rusila di sini, selepas menyedari ada seseorang memasuki bilik utama rumahnya, semalam.

Sebelum kejadian kira-kira jam 9.05 pagi, kakitangan Telekom Malaysia (TM) itu berkata, dia tidur di ruang tamu rumah namun tersedar apabila terlihat bayang orang dipercayai pencuri memasuki bilik utama bersebelahan rumah tamu rumahnya itu.

“Pencuri itu nekad sebab dia masih meneruskan niat untuk mencuri dan memasuki bilik itu walaupun dia melihat saya tidur di ruang tamu. Kehadiran pencuri itu disedari apabila saya tersedar lalu terlihat ada bayang melintas masuk ke dalam bilik,” katanya.

Menurutnya, apabila membuat pemeriksaan dia mendapati seorang lelaki tidak dikenali berada dalam bilik berkenaan dan pencuri terbabit dipercayai telah menceroboh masuk ke rumah itu selepas merosakkan tingkap rumah di bahagian dapur.

“Apabila melihat lelaki itu memegang pisau saya berundur dan cuba untuk keluar dari rumah, namun pencuri itu berjaya memintas ketika saya sudah berada di luar rumah dan menolak saya sebelum mengarahkan saya agar masuk semula ke dalam.

“Selepas itu dia bertindak melarikan diri dengan melompat pagar rumah ini dan saya terus menjerit meminta pertolongan termasuk cuba mengejarnya menggunakan motosikal sejauh kira-kira 50 meter, namun dia berjaya menghilangkan diri,” katanya.

Bapa empat anak itu berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana isterinya yang bekerja sebagai pembantu farmasi sudah menghantar empat anak mereka ke rumah ibunya sewaktu keluar bekerja sebelum kejadian berlaku.

“Selepas diperiksa, pencuri itu berjaya mengambil wang tunai di dalam dompet saya sebanyak RM340, sebilah keris dan sebilah pisau lipat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Taman Kalongan Mas, Rusila di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata, kini pihaknya sedang giat memburu suspek terbabit.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...