Rabu, 28 November 2012

Mangsa tanah runtuh dakwa ditipu peguam


KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang kematian dua anak perempuan dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Selangor pada 2008, mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat guaman hingga menyebabkan mereka bakal diisytihar muflis.

Azizah Madon, 46, mendakwa ini berikutan mereka tidak lagi menggunakan khidmat peguam itu selepas menyelesaikan kes di luar mahkamah serta berbincang dengan kerajaan Selangor dan pemaju.


Beliau mendakwa selepas tragedi itu, peguam berkenaan menghubungi mereka untuk menawarkan khidmat guaman selepas mengetahui kejadian itu turut meranapkan banglo mereka.



“Peguam terbabit menasihatkan kami untuk memfailkan saman terhadap pemaju, kerajaan Selangor dan tiga yang lain meskipun pemaju bersetuju untuk membayar pampasan kepada kami.


“Sebelum saman difailkan, kami bertanya kepada peguam berkenaan mengenai pembayaran guaman kerana kami dalam keadaan sehelai sepinggang dan tidak mampu, tetapi peguam itu kata tidak apa, dia tolong kami kerana Allah,” katanya kepada pemberita di Parlimen, di sini, semalam.



Beliau berkata, selepas saman RM1.1 juta itu difailkan, peguam terbabit tiba-tiba menuntut kos guaman yang amat tinggi iaitu 25 peratus daripada jumlah bayaran saman.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...