Jumaat, 30 November 2012

Rumah, pejabat Adun Sungai Lui disimbah cat


Rumah, pejabat Adun Sungai Lui disimbah cat
JEMPOL - Kediaman dan pejabat dua pemimpin tempatan di sini menjadi sasaran perbuatan khianat apabila disimbah cat merah dan dilontar mercun dalam dua insiden berasingan, malam kelmarin.
Kes pertama membabitkan tiang pagar rumah dan pejabat Adun Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad Felda Lui Barat yang disimbah cat merah kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.
Menurut Zainal, beliau hanya menyedari kejadian itu setelah dimaklumkan jirannya melalui panggilan telefon jam 7.39 pagi semalam.

“Saya terus keluar melihat keadaan tiang pagar rumah dan kemudian bergegas ke pejabat yang terletak di hadapan kediaman.

Rumah, pejabat Adun Sungai Lui disimbah cat
“Memang terkejut sebab kain rentang dan lantai luar pejabat turut disimbah cat merah itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Zainal berkata, beliau mengesyaki perbuatan khianat itu adalah rentetan daripada isu ladang penduduk di Kampung Serampang Indah (Kampung Gatco).

“Ingin saya tegaskan di sini, walau apa pun yang terjadi, saya tetap akan memperjuangkan nasib penduduk Kampung Gatco,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, ada individu membuat panggilan telefon ke rumahnya kira-kira jam 9.40 malam semalam dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada isteri dan anaknya.

Sementara itu, dalam kes kedua, kediaman wakil masyarakat India Kampung Gatco, R Papiyah pula dilontar mercun malam kelmarin.

Menurut Papiyah, ruang depan rumahnya dipenuhi asap selepas terdengar bunyi letupan jam 11.30 malam.

“Bila saya keluar rumah, terlihat serpihan mercun berserakan di beranda rumah.

“Saya juga mengesyaki ia ada kaitannya dengan isu ladang dekat kampung ini. Laporan polis telah dibuat berhubung kes ini,” katanya.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, beliau mengesahkan ada menerima laporan berkaitan dua insiden ini dan masih menjalankan siasatan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan lebih 200 penduduk Kampung Gatco mengadakan himpunan aman di tepi jalan besar Bandar Seri Jempol menyokong cadangan Kerajaan Negeri Sembilan dengan Syarikat Thamarai Holding.

Susulan itu, penduduk yang mempersetujui cadangan itu menggesa pihak terlibat menyegerakan proses menebang pokok getah di ladang mereka agar proses tanam semula pokok sawit dengan kerjasama pihak berkuasa Risda dapat dilakukan.

Bagaimanapun, cadangan penyelesaian isu tanah ladang penduduk yang sudah berlarutan lebih 30 tahun itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir penduduk.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...