Sabtu, 8 Disember 2012

Mayat Sub Kontrektor Warga Cina dijumpai mati dibunuh


Lokasi di mana mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap, petang kelmarin.
JEMPOL - Aktiviti harian seorang penduduk Orang Asli untuk mencari hasil hutan di kawasan ladang dekat sini, terbantut seketika apabila dia menjumpai mayat tertiarap, lewat petang kelmarin.

Mayat lelaki itu dipercayai warganegara China, Zhou Qi Hua, 46, merupakan sub kontrak sebuah syarikat dekat sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, mayat itu ditemui seorang penduduk Orang Asli yang ketika itu sedang mencari hasil hutan di belakang rumah pekerja dekat kawasan ladang kelapa sawit, kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, sejurus melihat mayat itu, penduduk Orang Asli berkenaan bergegas keluar dari ladang sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada penduduk lain.

"Mangsa yang ditemui tertiarap tidak berbaju dan hanya berseluar pendek dipercayai dijerut di bahagian leher menggunakan baju miliknya.

"Pihak polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa, namun pengecaman yang dibuat oleh syarikat terbabit mengesahkan mangsa adalah pekerja sub kontraknya,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Hamzah berkata, seketul batu yang terdapat kesan darah turut dijumpai berhampiran mangsa. Walau bagaimanapun hasil siasatan awal di kawasan berkenaan, tidak terdapat kesan pergelutan.

“Mangsa dipercayai dibunuh kurang 24 jam dan mayat berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat.

“Berikutan itu, enam lelaki iaitu rakan sebilik mangsa berumur antara 27 hingga 45 tahun ditahan pada hari yang sama untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, mangsa bersama rakan sebiliknya itu berasal dari kampung yang sama iaitu Hebei, China.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...