Sabtu, 1 Disember 2012

PDRM lancar sistem CSS melalui SMS


BERBAGAI-BAGAI CARA PENAMBAHBAIK TELAH DILAKUKAN OLEH KPN, ADAKAH PERKARA INI DILAKSANAKAN SEPENUHNYA DIPERINGKAT BAWAHAN ????

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Selepas memperkenalkan Sistem Tinjauan Kepuasan Pelanggan (CSS) di Selangor sejak setahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memperluas dan menambah baik perkhidmatan itu ke seluruh negara bagi mengukur prestasi pasukan tersebut melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sistem itu yang membolehkan orang ramai membuat penilaian dengan memberi salah satu dari empat kategori skor penilaian yang telah ditetapkan itu merupakan salah satu daripada inisiatif baharu PDRM dalam menawarkan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, sistem CSS di Selangor telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutamanya daripada mereka yang telah membuat laporan polis untuk menuntut siasatan.

Katanya, menerusi CSS secara SMS pula, langkah itu akan lebih menyenangkan orang ramai kerana mereka boleh membuat penilaian sendiri terhadap setiap anggota atau pegawai polis yang berurusan dengan mereka.

"Mereka hanya perlu menghantar nombor laporan polis bersama satu daripada empat kategori skor penilaian perkhidmatan iaitu 'sangat memuaskan', 'memuaskan, 'kurang memuaskan' atau 'sangat tidak memuaskan' ke talian 59888.

"Sebagai contoh, anggota yang mengambil laporan harus melayan (pelanggan) dengan mesra, tidak kasar dan bersimpati dengan orang ramai. Jadi, jika masyarakat tidak berpuas hati dengan perkhidmatan itu, mereka boleh menilai dan pihak polis akan memperbaiki," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan CSS melalui SMS di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Mortadza Nazarene.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, penilaian jujur oleh orang ramai mampu membantu PDRM membaiki setiap kelemahan yang ada.

"Kami mahu tahu setiap maklum-balas dan penilaian orang ramai selepas berurusan dengan pihak polis. Adakah polis memberikan kerjasama yang terbaik ataupun tidak.

"Saya sendiri mahu nilai kerja setiap pegawai-pegawai saya berdasarkan ulasan yang diberikan oleh orang ramai yang telah berurusan dengan polis," katanya.

Kata Ismail, PDRM juga sedia menerima teguran daripada orang ramai kerana menerusi cara itu, pasukan berkenaan mampu untuk mengoptimumkan perkhidmatan yang diberikan.

"Kini, PDRM telah membuka banyak saluran kepada orang ramai untuk membuat penilaian serta ulasan selepas berurusan dengan polis dan satu cara yang mudah ialah menerusi SMS.

"Setiap tindakan yang diambil akan didedahkan kepada orang ramai di media-media tertentu malah saya sendiri akan pastikan, setiap minggu akan memperolehi penilaian berhubung maklum-balas orang ramai ini," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...