PORT DICKSON – Seorang peniaga cedera parah selepas diserang dua lelaki dengan parang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Mangsa, Lim Hoon Pheng, 54, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja menutup kedai yang diusahakannya dan mahu pulang ke rumah di Taman Kian Yap sekitar 6.20 petang kelmarin.
“Ketika menunggang motosikal, saya ditahan dan diserang dua lelaki yang menunggu di tepi jalan menuju ke rumah saya.
“Saya cuba mengelak namun tidak berjaya menyebabkan tangan serta kaki kiri cedera. Dua lelaki itu bagaimanapun melarikan diri selepas saya menjerit,” katanya ketika ditemui.
Berikutan itu, Hoon Pheng dihantar menerima rawatan di Hospital Port Dickson (HPD) sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan lanjut akibat kecederaan parah yang dialami.