Sabtu, 22 Disember 2012

SPRM dan polis digesa siasat pendedahan Deepak


SPRM dan polis digesa siasat pendedahan Deepak
PETALING JAYA, 21 Dis — Pendedahan terbaru oleh usahawan karpet Deepak Jaikishan Rewachand perlu disiasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), gesa PKR dalam satu sidang media hari ini serta mengecam SPRM yang mempertahankan salah seorang panel mereka dalam sebuah kenyataan semalam.
Menurut ahli parlimen Batu (PKR) Chua Tian Chang, pendedahan terbaru ini serius kerana pendedahan Deepak mengaitkan lima individu yang terlibat dalam penarikan pengakuan sumpah (SD) kedua oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam.
Lima individu tersebut yang harus disiasat oleh PDRM dan SPRM adalah Deepak sendiri, Balasubramaniam, adik perdana menteri Datuk Nazim Razak dan dua peguam Tan Sri Cecil Abraham serta M Arulampalam.
“Hingga hari ini, pihak berkuasa masih tidak melakukan sebarang siasatan ke atas Deepak dan pendedahan yang dilakukannya.
“SPRM dan polis perlu menyiasat terutamanya Deepak kerana pelbagai kesalahan seperti membuat pengakuan bersumpah palsu, penculikan, peras ugut, rasuah, pembunuhan dan cubaan melindungi individu bersalah tertentu,” kata beliau.
Menurut Chua, kelima-lima individu tersebut boleh disiasat Seksyen 107 Kanun Keseksaan atau Seksyen 120a jenayah terancang atau Seksyen 191 pemalsuan bukti dibawah Akta Pengakuan Bersumpan 1960.
Tambah naib presiden PKR itu lagi, menerusi pendedahan ini pihak berkuasa sudah mempunyai asas dan alasan kukuh untuk melakukan satu siasatan baru terhadapan tuduhan Deepak.

Ahli parlimen Batu tersebut juga mengecam kenyataan SPRM semalam yang seolah-olah cuba mempertahankan Tan Sri Cecil Abraham kerana menafikan penglibatan peguam terkemuka itu dalam pasukan semakan badan tersebut yang menutup fail SD kedua Bala pada 2006.
“SPRM sebaliknya mengeluarkan kenyataan mengatakan Tan Sri Cecil Abraham tidak terlibat dalam panel menutup kes SD kedua Bala.
“Mereka sepatutnya menyiasat dakwaan terbaru ini, bukan seolah-olah mempertahankan individu (Cecil) tersebut,” ujar Chua.
Gesaan tersebut turut dinyatakan oleh dua lagi MP PKR William Leong Jee Keen (Selayang) dan Datuk Johari Abdul (Sungai Petani) sambil memberi amaran jika tiada sebarang tindakan diambil ia hanya akan mencemarkan imej dua agensi penguatkuasa tersebut.
“Polis dan SPRM perlu ambil tindakan, kalau tidak imej mereka akan terus buruk,” kata Leong.
“Sudahlah persepsi terhadap mereka sudah teruk, kalau tidak siasat lagi ia mesti teruk.”
Dalam pada itu, Johari memberitahu gesaan ini bertujuan untuk menentukan sama ada kenyataan Deepak memiliki kredibiliti atau boleh dipercayai atau tidak.
“Bagi menentukan Deepak ini mempunyai kredibiliti atau boleh dipercayai atau tidak, biarlah polis dan SPRM yang menyiasat.
“Jika ada siasatan baru boleh menentukan tuduhan Deepak itu benar atau palsu,” kata Johari menjawab kredibiliti pendedah tersebut Deepak.
Deepak baru-baru ini mencetus kontroversi dan mendapat perhatian umum selepas beberapa pendedahan mengejutkan terutamanya penglibatannya dalam SD kedua Bala mengaitkan kes pembunuhan model Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.
Malahan, Deepak juga menamakan peguam bergelar “Tan Sri” yang bertanggungjawab menyediakan SD tersebut yang pada masa sama mempunyai kepentingan dalam SPRM.
Semalam, SPRM telah mengeluarkan kenyataan rasmi menolak tuduhan mengatakan peguam “Tan Sri” tersebut berada dalam panel semakan yang menghentikan siasatan ke atas SD kedua Bala tersebut.
“Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM telah bersetuju dengan keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk menghentikan siasatan kes tersebut atas sebab keterangan saksi-saksi utama yang tidak disokong oleh mana-mana saksi yang lain dan saksi-saksi utama juga merupakan saksi yang boleh dipertikaikan kredibilitinya,” kata pengerusinya Tan Sri Datuk Dr. Hadenan bin Abdul Jalil dalam satu kenyataan semalam.
“PPO ingin menyatakan bahawa salah seorang ahli panel, Tan Sri Cecil Abraham tidak hadir dan tidak terlibat di dalam mesyuarat tersebut.”
Kenyataan serta-merta panel semakan SPRM tersebut merupakan maklum balas ekoran tuduhan konflik kepentingan melibatkan Abraham yang merupakan peguam bertanggungjawab menyediakan SD kedua Bala serta memegang jawatan dalam panel semakan yang menutup kes siasatan tersebut.
Misteri identiti peguam tersebut timbul sejak SD kedua oleh Bala, ia bertarikh sehari selepas yang pertama pada 3 Julai 2008 melibatkan pembunuhan Altantunya hingga menyebabkan dua anggota elit komando polis telah didakwa dan menghadapi hukuman mati.
Dalam sidang medianya selepas itu, Balasubramaniam, ditemani oleh peguam Arulampalam telah menarik balik akuan bersumpah pertamanya dan mengatakan beliau dipaksa untuk menandatanganinya.
Beliau kemudian membuat akuan bersumpah kedua, yang kemudiannya didakwa beliau pada 2009 dilakukan oleh peguam lain tanpa persetujuannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...