Sabtu, 26 Januari 2013

Penculik sumbat peluru dalam mulut


Dibelasah dan sebutir peluru dimasukkan ke dalam mulut, itu penderitaan dialami seorang ahli perniagaan yang menjadi mangsa culik empat lelaki yang turut melarikan kereta BMW dan mengambil wang miliknya menyebabkan kerugian RM413,600.
Lebih malang mangsa dikenali sebagai An, 37, turut dikurung dua hari di sebuah hotel di Petaling, dekat sini, selepas diculik Sabtu lalu di sebuah medan selera di Jalan Kuchai Lama.
Bagaimanapun mangsa dapat melarikan diri Isnin lalu dan terus menghubungi rakannya meminta pertolongan sebelum dia sekeluarga yang trauma berpindah dari ibu kota dan membuat laporan kejadian di Balai Polis Tapah, Perak, sebelum kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan lanjut.

An berkata, pada hari kejadian, dia yang memandu kereta BMW singgah di medan selera di Jalan Kuchai Lama namun ketika keluar dari kenderaan, tiba-tiba sebuah kereta Proton Perdana dinaiki empat lelaki berhenti di hadapannya.
Menurutnya, mereka terus menariknya masuk ke dalam kereta sementara seorang daripada mereka merampas kunci kereta dan terus ke keretanya.

“Malah ketika berada dalam kereta, lelaki terbabit turut mengacukan pistol sebelum seorang daripada mereka memasukkan sebutir peluru ke dalam mulut saya sambil mengugut mahu membunuh saya.

“Saya ketika itu hanya menggigil ketakutan dan tidak tahu hendak berbuat apa-apa malah mereka juga memaksa saya mengeluarkan beberapa pengeluaran wang di mesin juruwang automatik (ATM) di sekitar ibu kota,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Menurutnya, dia kemudian dibawa ke sebuah hotel di Petaling dan diugut akan dibelasah jika melawan atau cuba melarikan diri.

“Ketika dikurung, saya diarahkan mengeluarkan lima kali pengeluaran wang yang keseluruhannya berjumlah RM13,600.
“Bimbang dengan keselamatan, saya nekad melarikan diri ketika semua lelaki terbabit tiada di hotel sebelum terus menghubungi rakan bagi meminta bantuan,” katanya.

Beliau kini trauma dengan kejadian itu dan mengambil keputusan berpindah dari ibu kota namun tidak memberitahu di mana dia tinggal bagi mengelakkan dirinya sekali lagi menjadi mangsa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan sedang menyiasat motif sebenar serta siasatan lanjut sedang dijalankan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...