Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya

Sabtu, 5 Januari 2013

Pensyarah KLMU dijel jual diploma


KUALA LUMPUR - Seorang bekas pensyarah Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU) dipenjara dua bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana menerima rasuah RM1,500 untuk sekeping diploma pada Julai lalu.

Hakim Rozilah Salleh mengenakan hukuman tersebut selepas tertuduh Elmy Shadzly Wahi, 40, mengaku salah atas tuduhan pertama tersebut.

Dia yang merupakan bekas pensyarah Falkuti Kulinari bagaimanapun dilepas dan dibebaskan bagi tuduhan kedua iaitu cuba meminta RM1,500 untuk tujuan yang sama.

Keputusan itu dibuat Rozilah apabila dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa mereka akan menggugurkan salah satu tuduhan sekiranya tertuduh mengaku salah bagi satu tuduhan.

Mahkamah turut mengarahkan Elmy Shadzly dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda dengan hukuman penjara dua bulan diarah berjalan semalam.

Bapa kepada empat anak itu didakwa memperoleh wang tunai RM1,500 melalui akaun Malayan Banking Berhad nombor 162254706503 daripada Muhammad Asrull Aizat Solehan.

Ia sebagai balasan untuk memberikan Muhammad Asrull Aizat satu diploma bidang kulinari dari KLMU tanpa pelajar itu menghadiri kuliah dan peperiksaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dataran Maybank Bangsar, No. 1, Jalan Maarof di sini pada pukul 3.30 petang 13 Julai 2012 di sini.

Bagi tuduhan kedua, dia didapati cuba memperoleh RM1,500 daripada Muhammad Asrull Aizat bagi satu diploma kulinari KLMU tanpa menghadiri kuliah dan peperiksaan pada pukul 8.30 malam 16 Julai lalu di Jalan Sri Ehsan 2, Taman Perindustrian Sri Ehsan.

Dakwaan kedua-dua tuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Pegawai pendakwa SPRM, Nor Lokman Samingan manakala tertuduh diwakili peguam S. I. Rajah.

Terdahulu Elmy Shadzly merayu hukuman ringan kerana dia sudah kehilangan sumber pendapatan dan perlu menanggung empat anak manakala isteri pula tidak bekerja.

Katanya lagi, dia melakukan kesalahan itu bukan untuk dirinya tetapi demi membantu kawan mendapatkan kerja.

Sementara itu, Elmy Shadzly yang menghadapi dua lagi tuduhan rasuah yang dibacakan di Johor Bahru pada 8 Oktober tahun lalu sebelum ini menukar pengakuan kepada mengaku bersalah di mahkamah sesyen berasingan di sini semalam.

Tertuduh didakwa menerima suapan daripada Izam Mustafa sebanyak RM1,500 melalui akaun miliknya yang dimasukkan secara deposit tunai.

Semasa kejadian, Elmy masih bekerja di kolej tersebut. Wang RM1,500 sebagai dorongan kerana tertuduh membekalkan Diploma Dalam Bidang Pengurusan daripada Nilai University College di Negeri Sembilan kepada Izam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 1.45 petang di Maybank cawangan Taman Molek di sini pada 22 Mac lalu.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain menetapkan tarikh jatuh hukum terhadap kedua-dua pengakuan tertuduh pada 23 Januari depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...