Ahad, 6 Januari 2013

Usahawan ditipu ejen pembekal pekerja


Usahawan ditipu ejen pembekal pekerja
JOHOR BAHRU - Seorang pengusaha agensi pekerjaan di sini terpaksa menanggung rugi puluhan ribu ringgit akibat diperdaya ejen pembekal pekerja asing.

Nooraziah Muhadi, 50, kerugian RM33,600 dalam dua kes berasingan setelah dia memasukkan wang berjumlah RM18,600 di dalam akaun sebuah syarikat yang beroperasi di Petaling Jaya untuk mendapatkan biodata lima pekerja berbangsa Kemboja.

Menurutnya, selepas transaksi itu, individu yang mengendalikan urusan berkenaan yang hanya dikenali sebagai Mr Ben  meminta menjelaskan baki pembayaran RM11,400 kerana setiap seorang biodata pekerja bernilai RM6,000 dengan jumlah keseluruhannya RM30,000 yang perlu dibayar sebelum Disember 2010.

“Percaya dengan khidmat yang diberikan sebelum ini kerana pernah menyediakan dua pekerja asing, saya menjelaskan baki bayaran yang dikenakan tanpa rasa curiga.

"Selepas membuat kedua-dua bayaran itu, syarikat tersebut telah menghantar resit pembayaran dan meminta menunggu selama dua bulan.

“Namun, selepas tiga bulan menunggu saya menghubungi Mr Ben agar dia memulangkan wang saya tetapi dimaklumkan  dia tiada wang.

“Saya pergi ke syarikatnya dan mendapati ia tidak beroperasi dan Mr Ben gagal dihubungi.

"Menyedari tertipu, saya membuat semakan syarikat berkenaan dan mendapati ia berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebelum membuat laporan polis, Januari tahun lalu,” katanya ketika membuat aduan di Kelab Media Cina, di sini, semalam.

Nooraziah yang telah menjalan perniagaan lebih 10 tahun lalu mengalami episod sedih  apabila ditipu sekali lagi oleh seorang individu lain selepas menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,600 untuk menguruskan tiga pekerja lelaki warga Nepal, Julai tahun lalu.

“Saya kenal individu ini menerusi kenalan yang lain. Saya akui tidak pernah berurusan dengan lelaki tersebut sebelum ini. Kali ini, saya percaya selepas dia menghantar e-mel biodata tiga pekerja warga Nepal seperti yang dikehendaki.

“Apa yang berlaku, selepas tempoh yang diberikan tamat, ketiga-tiga pekerja tersebut tidak disediakan dan lelaki tersebut gagal dikesan,” katanya.

Akibat kedua-dua kes penipuan yang dialami, ibu kepada empat anak yang berusia lapan hingga 25 tahun itu terpaksa menanggung hutang kerana membuat pembiayaan peribadi di institusi kewangan selain kehilangan wang simpanan sendiri.

“Saya harap kedua-dua individu tersebut mendapat hukuman sewajarnya” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...