Rabu, 27 Februari 2013

Kanak-kanak 12 tahun hilang di Bukit Mertajam sejak Ahad lalu


BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak lelaki Mohamad Daniel Haiqal Mohd Desa, 12, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah bapa saudaranya di Flat Desa Wawasan, di sini, sejak Ahad lalu. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Sungai Rambai, di sini itu dilaporkan hilang antara 8 pagi hingga 9.30 pagi pada hari berkenaan. 

Katanya, bapa saudara Mohamad Daniel membuat laporan polis berhubung kehilangannya setelah kanak-kanak itu tidak pulang dan gagal dikesan. 

"Kanak-kanak itu tinggal dengan keluarga adik perempuan ibunya sejak awal tahun dan keluar dari rumah dengan membawa beberapa helai pakaian serta duit tabung. 

"Bapa saudara mangsa yang merupakan peniaga kantin memaklumkan ketika dia hendak keluar pada 8 pagi, kanak-kanak itu masih berada di rumah dan Mohamad Daniel didapati hilang selepas beliau pulang ke rumah sejam kemudian," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. 

Azman berkata, Mohamad Daniel berbadan kurus dengan ketinggian lebih kurang 120 meter dan berat 30 kilogram dan ketika keluar dia memakai seluar jeans warna biru dan t-shirt warna putih serta berselipar. 

"Dia juga membawa beg galas warna hitam dan menaiki basikal warna biru muda. Kita telah edarkan gambar kanak-kanak berkenaan di lokasi strategik seperti masjid, kafe siber, hentian bas dan gerai-gerai makanan," katanya. 
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kanak-kanak itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ridzlan Fatim Roselan 017-2569037 atau mana-mana balai polis berdekatan. 

Pada perkembangan lain, Azman berkata, polis mendapat beberapa maklumat terbaru mengenai kes kehilangan seorang kanak-kanak lelaki India berusia enam tahun, T Sathiskumar, yang dilaporkan hilang sejak 8 Ogos tahun lalu di kawasan Jalan Permatang Pauh, di sini. 

Katanya, polis juga merekodkan keterangan seorang lelaki bagi membantu siasatan dan yakin dapat mengesan kanak-kanak terbabit tidak lama lagi. 

Pada 8 Ogos tahun lalu, Sathiskumar dilapor hilang pada 12.30 tengah hari selepas turun dari lori dipercayai untuk membeli makanan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...