Jumaat, 15 Februari 2013

Kes ceroboh gerai berleluasa

Tee Keat (tengah) dan Ben Liew (kiri)
Tee Keat (tengah) dan Ben Liew (kiri) menerima memorandum
dari wakil peniaga medan selera

AMPANG - Kes pencerobohan gerai di Medan Selera Taman Muda meresahkan peniaga dan mereka menuntut sistem keselamatan dipertingkatkan di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, keselamatan tidak terjamin walaupun gerai di Jalan Tanjung Bunga 10 dipasang jeriji besi.

"Peniaga bimbang berikutan kes jenayah tinggi, termasuk pencerobohan dan kecurian kerap berlaku akhir-akhir ini.

“Keresahan peniaga itu telah saya maklumkan kepada pihak berkuasa dalam Program Kepolisan Masyarakat dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada lawatannya ke Taman Muda baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perjumpaan bersama peniaga medan selera terbabit dan disertai Ketua Biro Aduan Dun Teratai, Ben Liew.

Turut diadakan, penyerahan memorandum peniaga kepada Tee Keat berhubung permohonan bonggol di hadapan medan selera.

Tee Keat berkata lagi, meskipun ada Ops Payung sekitar kawasan itu masih tidak memadai jika tiada kerjasama peniaga dan orang ramai.

"Peniaga harus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengawal keselamatan seperti mengupah pengawal keselamatan di kawasan itu," katanya.

Sementara itu, Ben Liew berkata, masalah lain seperti permintaan bonggol jalan dan masalah sistem parkir akan diberi perhatian.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diminta mengkaji semula sistem parkir di medan selera ini kerana kedudukannya tidak sesuai," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...