Khamis, 28 Februari 2013

Polis boleh iringi guru kesan pelajar ponteng


Polis bersedia mengiringi guru yang ingin memantau pergerakan pelajar ponteng sekolah bagi memastikan keselamatan mereka.    

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis hanya akan berbuat demikian jika pihak sekolah meminta bantuan kerana polis tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pelajar yang ponteng sekolah.

Beliau berkata hanya pihak sekolah mempunyai kuasa penuh mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar berkenaan termasuk melaksanakan garis panduan bagi membanteras gejala itu.

"Lebih penting, ibu bapa sepatutnya memainkan peranan utama mendidik anak-anak mereka daripada terjebak dalam salah laku sosial, bukan melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan Georgetown di Batu Lanchang, hari ini.

Abdul Rahim berkata, polis juga menubuhkan pasukan pegawai perhubungan polis di seluruh sekolah negeri ini bagi membantu mewujudkan persekitaran selamat dan bebas jenayah dalam kawasan sekolah.

"Pasukan itu melibatkan anggota polis berpangkat pegawai atau sarjan.

Setakat ini kita menerima kerjasama yang baik daripada Jabatan Pelajaran negeri termasuk guru-guru," katanya.- Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...