Sabtu, 16 Mac 2013

BALAI POLIS BAHARU PULAU BANGGI AKAN DIBINA SECEPAT MUNGKIN - HISHAMMUDDIN


Kudat, 15 Mac - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini memberi jaminan bahawa balai polis baharu di Pulau Banggi, bahagian pantai utara Sabah, akan dibina secepat mungkin. 

Beliau berkata balai polis baharu itu penting bagi meningkatkan kawalan keselamatan ekoran insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, bahagian pantai timur negeri ini. 

"Kita mahu melihat ke hadapan dan saya sudah putuskan kita nak bina balai baharu di Pulau Banggi secepat mungkin," katanya kepada pemberita sempena lawatannya ke beberapa perkampungan air di sini. 

Hishammuddin juga mahu agar gerakan Rela dan kesukarelawan diperhebat bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan. 

"Kita mahu ketua-ketua kampung dan pengerusi JKKK dilibatkan semua sebagai barisan pertama pertahanan. 

"Perjumpaan (dengan penduduk Kudat) hari ini agak bersejarah, bukan sahaja wakil-wakil rakyat tahu, tetapi saya dapat melihat sendiri kekangan dan kelemahan yang perlu kita perbaiki. Bagi saya iktibar yang kita belajar daripada pengalaman ini akan membantu kita mencorakkan landskap bukan sahaja Kudat tetapi keselamatan Sabah untuk 50 tahun akan datang," katanya. 

Beliau berkata pemergian para pejuang negara (yang terkorban) tidak sia-sia.

"Kita harus pastikan melakukan segala yang mungkin supaya pengorbanan mereka menyumbang kepada landskap masa depan Sabah," katanya.

Hishammuddin turut mengumumkan bahawa malam ini Ketua Setiausaha Negara sendiri mempengerusikan mesyuarat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang memperinci pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas dari Kudat hingga ke Tawau. 

Pada 7 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah itu ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras pengganas di Felda Sahabat 16, berdekatan dengan Kampung Tanduo, Lahad Datu. 

"Semangat penduduk Kudat cukup tinggi, ikatan cukup membanggakan, dan walaupun tiada insiden, kita tetap berhati-hati. 

"Bukan mudah untuk pantau pantai kita yang luas, tetapi kita kena lakukannya demi keselamatan semua pihak khususnya rakyat Sabah," katanya. 

Hishammuddin juga meminta penduduk Kudat supaya tidak mendengar khabar angin kerana "secara menyeluruh masyarakat Sabah hidup dalam keadaan aman dan tenang tetapi jangan ambil mudah kerana kita tidak mahu (kes pencerobohan) berulang." BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...