Isnin, 25 Mac 2013

HARI POLIS KE-206 DISAMBUT PENUH SEMANGAT PATRIOTIK DI SELURUH NEGARA


Kuala Lumpur 25 Mac - Hari Polis ke-206 disambut di 14 kontinjen polis seluruh negara dengan semangat patriotik penuh membara tatkala negara masih lagi terkesan dengan gugurnya lapan anggota pasukan itu dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu sejak 12 Feb lalu.

Di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini, seramai 93 anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam Operasi Daulat mempertahan kedaulatan negara, diterbangkan khas dari Sabah untuk menyertai perbarisan sambutan itu. 

Turut menyertai perbarisan ialah tujuh balu dan seorang waris anggota yang terkorban.

Mereka yang terkorban di Kampung Tanduo pada 1 Mac ialah ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabarudin Daud, 46, manakala anggota yang gugur di Semporna pada 2 Mac ialah ACP Ibrahim Lebar, 52, dan Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, DSP Michael Padel, 36, Sjn Mejar Baharin Hamid, 49, Sjn Mejar Abdul Aziz Sakirun, 48, dan Sjn Salam Togiran, 42.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Twitternya hari ini, mengucapkan Selamat Hari Polis kepada semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menzahirkan penghargaan kepada pasukan itu kerana sentiasa memastikan keselamatan negara dan rakyat, terjamin.

Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyampaikan sumbangan dan sijil penghargaan kepada 10 anggota polis yang cedera dalam pertempuran dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu dan Semporna.

Pada majlis yang sama, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata meskipun pasukan keselamatan masih menangani isu pencerobohan pengganas indeks jenayah di Sabah dilaporkan menurun sebanyak 14.08 peratus dalam tempoh dua bulan dari Januari hingga Februari lepas. 

Polis Sabah yakin dapat menangani situasi di negeri ini dengan kawalan keselamatan yang lebih padu berikutan kekuatan tambahan dua briged polis di Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOMM), yang meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai timur negeri itu.

Di KUCHING, sambutan di peringkat negeri Sarawak berlangsung dengan perbarisan melibatkan kira-kira 500 anggota polis, polis bantuan, pasukan Sukarelawan Simpanan Polis dan Kor Sukarelawan Siswa Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Sambutan peringkat negeri itu diketuai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Law Hong Soon yang turut memeriksa kawalan kehormat dan menyampaikan surat penghargaan kepada anggota dan pegawai polis serta orang awa 
terpilih.

Di GEORGE TOWN, seramai 28 isteri anggota Polis Marin Wilayah Satu yang terlibat dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, menerima sijil penghargaan khas sempena sambutan Hari Polis peringkat Pulau Pinang.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, ACP Mohd Yusof Abdullah berkata penghargaan itu diberi bagi menaikkan semangat mereka yang ditinggalkan suami sepanjang operasi itu berlangsung.

Di IPOH, Polis Perak menyalurkan sumbangan sebanyak RM132,320.70 kepada pegawai dan anggota yang terlibat dalam Operasi Daulat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata sumbangan itu hasil kutipan Polis Diraja Malaysia Kontinjen Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah sebanyak RM104,893 dan orang awam sebanyak RM27,427.70. 

Di SHAH ALAM, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyetarakan semua pangkat dalam perkhidmatan PDRM dengan perkhidmatan awam am, selaras dengan perubahan lapisan serta gred jawatan atau gred gaji. 

Thaiveegan menyampaikan sijil penghargaan kepada 48 individu - anggota polis dan awam - sempena sambutan yang dihadiri hampir 520 pegawai dan anggota polis pelbagai pangkat di Selangor. 

Di KUALA TERENGGANU, Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata polis mengenal pasti 60 kawasan panas di seluruh negeri itu menjelang pilihan raya umum Ke-13 (PRU13) dan seramai 3,600 anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal serta memantau keadaan sepanjang tempoh kempen.

Di KANGAR, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata semangat juang yang tinggi anggota PDRM dalam mengekalkan keamanan akan turut membantu melonjak ekonomi negeri dalam menjayakan wawasan Perlis Maju 2012. 

Pada majlis yang sama Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron menyampaikan sijil Juara Penuh Disiplin PDRM kepada 20 penerima di samping surat penghargaan kepada 25 penerima. 
- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...