Selasa, 9 April 2013

PRU13: POLIS TERENGGANU TUMPU KAWASAN "BERISIKO BERLAKU KEKECOHAN"


Setiu, 8 April - Polis Terengganu menumpukan kawalan keselamatan di kawasan yang dikenal pasti sering berlaku kekecohan pada pilihan raya umum sebelum ini, kata Ketua Polis Negeri Dato' Jamshah Mustapa. 

Beliau berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencetuskan kekecohan yang boleh mengganggu kelicinan proses pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan menjejas ketenteraman awam. 

Katanya pada pilihan raya umum sebelum ini terdapat kes penyokong parti termasuk daripada Barisan Nasional (BN) ditahan atas dakwaan mencetuskan kekecohan. 

"Kita (polis) juga akan kerap melakukan rondaan dan kawalan di kawasan yang kita rasa berisiko untuk berlaku kekecohan, dengan kehadiran polis tindakan mereka mungkin akan lebih terbatas," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pilihan raya umum bagi daerah Setiu. 

Jamshah turut mengingatkan semua parti politik dan penyokong mereka agar mematuhi undang-undang terutamanya memohon permit untuk mengadakan ceramah sepanjang tempoh berkempen nanti. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...