Ahad, 26 Mei 2013

KERJASAMA MASYARAKAT DIGEMBLENG DALAM JABATAN PENCEGAHAN JENAYAH


Jabatan Pencegahan Jenayah yang baru ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melibatkan masyarakat umum secara langsung dalam usaha pencegahan jenayah di seluruh negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pengumuman secara terperinci mengenai peranan dan fungsi jabatan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Saya akan umumkan bersama-sama dengan pengumuman ketua-ketua jabatan pencegahan Bukit Aman dan di setiap kontinjen negeri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata apa yang boleh dikatakan setakat ini ialah kerjasama masyarakat umum akan digembleng untuk bersama-sama PDRM dalam usaha mengurangkan kadar jenayah sejajar dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Rabu lepas, Khalid mengumumkan penubuhan jabatan itu di peringkat Bukit Aman serta ibu pejabat polis kontinjen negeri dan daerah.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof pula berkata peranan jabatan itu kelak akan mengkaji, menstrategi dan mengoperasikan kaedah-kaedah pencegahan jenayah sesuai dengan keadaan dan masa serta selaras dengan matlamat mengurangkan jenayah. 

"Jabatan ini ditubuhkan atas kesedaran bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada pencegahan. Ini akan meletakkan usaha-usaha NKRA lebih berterusan manakala usaha baharu akan terus diperkenalkan," katanya.

Sementara itu Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar yakin peranan jabatan itu mampu mengurangkan kadar jenayah di negara ini dengan penglibatan anggota masyarakat. 

Beliau berkata menerusi penubuhan jabatan itu, polis dan masyarakat dapat berganding bahu, berkongsi maklumat dalam membendung sesuatu kegiatan jenayah.

"Kata orang, 'cegah lebih baik daripada mengubati'. Maksudnya, bila dah ada jabatan macam ni, ia berupaya membendung sesuatu kegiatan jenayah itu daripada berlaku. Bila dah berlaku (sesuatu jenayah) itu, tidak berguna lagi," katanya.

Bernama difahamkan beberapa negara telah mewujudkan Jabatan atau Biro Pencegahan Jenayah, antaranya Kanada, Amerika Syarikat, India, Korea dan Hong Kong.

Menurut Biro Pencegahan Jenayah Polis Hong Kong jabatan itu berperanan mendidik masyarakat umum untuk melindungi diri dan harta benda mereka dengan memberikan nasihat kepada mereka.

Dalam laman web jabatan itu di www.police.gov.hk polis negara itu menjalankan pelbagai kempen pencegahan jenayah melalui ceramah dan media serta menyediakan kursus dan seminar dalam aspek keselamatan untuk polis dan pertubuhan luar.

"Matlamat utama ialah untuk mengajak orang awam untuk lebih bertanggungjawab atas keselamatan diri sendiri dan dengan cara ini mengurangkan kadar jenayah di Hong Kong," menurut laman web itu. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...