Isnin, 6 Mei 2013

Kontraktor cedera ditembak

Jalaluddin
Jalaluddin menunjukkan gambar lelaki yang dikenal pasti untuk membantu siasatan.

KOTA BHARU - Seorang kontraktor cedera di lutut dan kaki kirinya, selepas ditembak dari jarak dekat oleh lelaki yang tidak dikenali di kediamannya,  di Kampung Babong, Kedai Lalat, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.35 malam itu mangsa,  yang berusia 53 tahun cedera di peha dan lutut kiri setelah terkena dua daripada tiga das tembakan yang dilepaskan  suspek terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ketika kejadian, mangsa berada di dalam rumah bersama isteri dan dua anaknya yang berusia 18 hingga 21 tahun sebelum dua suspek terbabit tiba.

Menurutnya, sejurus suspek tiba, seorang daripada mereka mengetuk pintu rumah dan bertanyakan mengenai mangsa.

"Mangsa kemudiaannya dipanggil isterinya supaya keluar kerana orang mahu berjumpa.

“Apabila mangsa menghampiri pintu utama rumahnya, seorang daripada suspek kemudian bertanyakan nama sebelum melepaskan tiga das tembakan,” katanya demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, semalam.

Bagaimanapun, Jalaluddin menolak motif kejadian tersebut berkaitan dengan unsur politik.

“Mangsa mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) iaitu samun berkumpulan dan saya percaya kes tersebut bermotifkan dendam.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Menurut Jalaluddin, Polis Kelantan sudah mengenal pasti seorang  penarik kereta, berusia 24 tahun bagi membantu siasatan.

“Kita giat memburu suspek  dan mengharapkan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat  dapat menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...