Selasa, 7 Mei 2013

Mangsa dibunuh kejam

Seorang lelaki dibunuh dengan kejam apabila tangan dan kakinya diikat dawai selain ditambat pada bongkah besi sebelum dicampak ke dalam lombong berhampiran Kawasan Industri Bemban, di sini.

Mayat mangsa lelaki berusia 30-an itu dipercayai dibunuh lebih lima hari lalu sebelum mayatnya ditemui oleh seorang penternak lembu pada jam 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, mayat mangsa ditemui saksi berusia 80 tahun ketika menghalau lembunya ke kandang melalui tepi lombong berkenaan.

Menurutnya, penternak lembu itu terhidu bau busuk dan ternampak mayat seorang lelaki timbul di lombong berkenaan.
“Lelaki itu kemudian terus menghubungi polis berhubung penemuan mayat itu. Pihak polis kemudian menarik mayat mangsa ke tebing lombong sebelum siasatan dilakukan.

“Hasil siasatan mendapati hanya kepala mangsa timbul di permukaan air manakala badan mangsa masih tenggelam di dalam air. Pemeriksaan mendapati tangan dan kaki mangsa diikat dengan dawai,” katanya.

Menurutnya, terdapat ukiran tatu pada badan mayat mangsa yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...