Selasa, 18 Jun 2013

Gejala sosial: Lesen kafe siber di KL, Labuan dibeku

KUALA LUMPUR 18 Jun - Pengeluaran lesen kafe siber di Kuala Lumpur dan Labuan akan dibeku buat sementara dalam usaha kerajaan membanteras masalah sosial di premis itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, tindakan itu terpaksa diambil untuk mengatasi masalah kafe siber yang ada di antaranya bertukar menjadi tempat judi siber dan tindakan pemilik kafe siber menyalahguna lesen yang telah diberi kepada mereka.

"Putrajaya tidak terlibat kerana tidak ada kafe siber di sana. Masalah ini tidak boleh dibiarkan lagi kerana masalah kafe siber yang menyalahgunakan lesen ini sudah terjadi berulang kali," katanya kepada pemberita selepas Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Seramai 715 petugas dan pegawai menerima anugerah iaitu 450 orang menerima pengiktirafan daripada Tengku Adnan dan selebihnya daripada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, banyak pemilik lesen kafe siber tidak jujur dalam perniagaan mereka dan ini boleh dilihat apabila kebanyakan premis itu dipasang dengan cermin gelap.

"Sampai ke satu tahap kami sudah tidak boleh terima lagi kerana membenarkan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun masuk ke dalam kafe siber seperti ini," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, beliau akan membawa masalah jerebu yang melanda Kuala Lumpur ke kabinet esok.

Beliau berkata, mungkin beberapa peraturan baharu akan diperkenalkan sebagai langkah sementara kerana masalah itu bukan sahaja akan memberi kesan kepada sektor pelancongan tetapi juga kesihatan warga Kuala Lumpur. - BERNAMA



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...