Jumaat, 28 Jun 2013

Kedai Emas Rugi RM350,000 Dirompak Enam Penjenayah

KUALA LUMPUR: Enam penjenayah bersenjata api melarikan tujuh dulang barangan kemas bernilai kira-kira RM350,000 dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan Masjid India, di sini Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kesemua lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh muka itu meluru masuk ke dalam kedai berkenaan kira-kira 9.30 pagi ketika pemilik premis memulakan operasi perniagaan.
"Setelah mereka masuk ke dalam premis, seorang suspek dipercayai mengacu pistol ke arah pemilik dan pekerjannya, manakala dua lagi melompat ke bahagian kaunter dan mengambil beberapa rantai emas," katanya.
Beliau berkata tiga lagi suspek pula memecahkan cermin meja pameran dengan menggunakan rotan sebelum melarikan barangan kemas berkenaan.
Katanya kumpulan itu kemudian melarikan diri dengan menaiki tiga buah motosikal dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, ketika kejadian tiada pelanggan dalam premis berkenan dan pihaknya akan meneliti rakaman kamera kawalan litar tertutup (CCTV) yang terletak 60 meter dari lokasi kejadian, kerana CCTV premis itu gagal merakam pelakuan suspek kerana rosak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkumpulan dengan menggunakan senjata api, katanya.
"Mangsa tidak diapa-apakan dan ini merupakan kali pertama premis tersebut disamun," katanya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...