Selasa, 4 Jun 2013

Kementerian Dalam Negeri Kaji Cadangan Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan & Salah Laku Polis

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri akan mengkaji cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menyiasat aduan berkaitan salah laku anggota penguatkuasaan di negara ini.
Timbalan Menterinya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kajian perlu dibuat tentang keberkesanan IPCMC berbanding cara lain seperti lembaga tatatertib dalaman polis, yang telah terbukti keberkesanannya kerana ia memenuhi semua keperluan untuk menangani anggota polis yang melakukan kesalahan.
"Ada pihak mendakwa apa yang ada sekarang, lebih baik daripada apa yang disyorkan melalui IPCMC. Saya perlu melihat kedua-duanya terlebih dulu dan kami akan keluarkan satu kenyataan mengenainya selepas itu," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Klinik Cure & Care 1Malaysia di Sungai Besi di sini Selasa.
Wan Junaidi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low bahawa Malaysia sudah mempunyai Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan untuk menangani perkara berkaitan tatatertib anggota pasukan penguatkuasaan dan oleh itu, IPCMC tidak perlu ditubuhkan.
Tahun lepas, dalam sesi soal jawab di Dewan rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menubuhkan IPCMC kerana kewujudan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan yang ditubuhkan pada 1 April tahun lepas sudah memadai untuk menyiasat aduan tentang salah laku anggota pasukan penguatkuasaan di negara ini.
Pada 25 Mac 2008, perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa draf rang undang-undang IPCMC siap untuk dikemukakan kepada Kabinet sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, perkara itu ditangguh apabila Dewan Rakyat dibubar pada tahun berkenaan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan.
IPCMC adalah bahagian terakhir dalam cadangan pembaharuan pasukan polis yang dikemukakan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, yang mencadangkan agar badan itu menggunakan model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC) United Kingdom dan badan pemantau polis yang terdapat di New South Wales dan Queensland, Australia, serta Hong Kong.
Wan Junaidi berkata beliau telah mengadakan perbincangan tentang perkara itu dan panel dalaman polis dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Sementara itu, pemangku presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn berkata penubuhan IPCMC akan membantu meningkatkan semangat pasukan polis dan imejnya di mata rakyat Malaysia.
"Kita tidak boleh mengetepikan harapan rakyat yang mahukan sebuah pasukan polis yang cekap, telus dan bertanggungjawab," katanya dalam kenyataaan di sini Selasa.
Chang berkata IPCMC perlu ditubuhkan setelah banyak kesilapan langkah dan tindakan salah dilakukan polis seperti kematian suspek ketika dalam tahanan dan sikap anggota polis yang gemar melepaskan tembakan dengan sesuka hati.
Sementara itu, MCA pula menyeru Ketua Polis Negara supaya mengadakan inkues berhubung tiga kes kematian di dalam lokap dalam jarak 11 hari.
Dalam kenyataan di sini hari ini, pengerusi Biro Publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie berkata penyiasatan berhubung kes itu perlu dibuat secara telus demi keadilan untuk mangsa dan keluarga mereka.
Katanya tindakan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah pertukaran empat anggota polis yang disyaki terbabit dalam kematian N. Dhamendran, adalah tidak memadai.
Perintah itu memberi tamparan kepada keluarga berkenaan dan proses keadilan, serta akan hanya meningkatkan lagi persepsi buruk orang ramai bahawa polis melindungi perkara sebenar, katanya.
Laporan ahli patologi forensik Hospital Kuala Lumpur menunjukkan Dhamendran meninggal dunia akibat dipukul dengan teruk menggunakan objek tumpul.
Heng berkata: "Tindakan segera dan berat mesti diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu. Kita perlu hentikan salah laku yang didakwa dilakukan pihak berkuasa yang diberi kepercayaan oleh orang ramai untuk menegakkan undang-undang.
"Jika tidak, keyakinan terhadap Polis Diraja Malaysia sebagai pelaksana undang-undang, akan terhakis." -BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...