Sabtu, 8 Jun 2013

Mesin ATM dilarikan

Mesin ATM dilarikan
TINGGAL BEKAS...Salah satu mesin ATM yang dilarikan penjenayah.

JOHOR BAHRU – Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) hilang dari sebuah bank yang beroperasi di Jalan Ros Merah, Taman Johor Jaya di sini, selepas dilarikan sekumpulan penjenayah awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, jenayah yang berlaku kira-kira jam 5 pagi itu dipercayai dilakukan lebih dari dua suspek namun identiti mereka masih belum dapat dikenal pasti.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi dan disedari orang awam yang kemudiannya menghubungi polis melalui talian 999.

“Hasil pemeriksaan kita turut mendapati perakam CCTV yang dipasang pihak bank telah disembur cat hitam oleh suspek sebelum mesin ATM dilarikan, menyebabkan identiti mereka masih belum dapat dikesan,” katanya.

Roslan berkata, jumlah kerugian masih belum dapat dikenal pasti dan pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan suspek termasuk meneliti rakaman CCTV sebelum ia disembur cat.

“Kita juga akan ambil keterangan pengawal keselamatan yang bertugas di bank itu namun polis dimaklumkan bahawa pengawal berkenaan tidak berada di lokasi ketika kejadian,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi balai polis berhampiran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...