Jumaat, 7 Jun 2013

Wanita hamil 5 bulan nyaris maut diragut


Gambar hiasan
TEMERLOH 6 Jun - Seorang suri rumah yang hamil lima bulan nyaris maut selepas cuba diragut seorang lelaki berdekatan sebuah pasar raya dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada 11.20 pagi itu, mangsa yang berasal dari Felda Pasoh, Negeri Sembilan mengalami pendarahan setelah terjatuh ke atas jalan raya apabila beg tangannya cuba diragut suspek yang datang dari arah belakang dengan sebuah motosikal.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Aziz Salleh, suspek berumur 24 tahun itu yang gagal meragut beg tangan wanita itu cuba pula meragut rantai leher yang dipakai mangsa namun gagal.

"Suspek kemudian menolak mangsa hingga jatuh ke jalan raya tetapi kemudian bergelut dengan suami mangsa dan orang ramai yang datang untuk menolong mangsa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis daerah Temerloh di sini hari ini.

Aziz berkata, wanita itu yang mengalami kecederaan dibawa oleh suaminya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk rawatan, manakala suspek yang turut cedera dalam pergelutan itu ditahan polis selepas mendapat rawatan di hospital yang sama.

"Mangsa dan kandungannya selamat manakala suspek kita akan tahan selama seminggu untuk siasatan lanjut. Suspek bakal dituduh di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan akibat menyebabkan kecederaan kepada mangsa ketika meragut," katanya.

Aziz berkata, siasatan polis mendapati suspek dipercayai mempunyai rakan subahat, dan aktif melakukan jenayah ragut di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kita juga ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin membantu mangsa dan suaminya sehingga tertangkapnya peragut itu," katanya. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...