Sabtu, 23 November 2013

1.7 Juta Pesalah Trafik Dikehendaki

KUALA LUMPUR: Jumlah pesalah trafik terus meningkat setiap tahun.
Lebih memburukkan keadaan ramai yang tidak membayar saman trafik yang mereka terima.
Pada 2008, polis trafik menjejaki 96,000 pemilik kenderaan yang tidak membayar saman mereka dalam Ops Warta VII.
Lima tahun selepas itu, angka berkenaan meningkat hingga 1.7 juta.
Tidak mampu menjejaki semua pesalah trafik pada satu-satu masa, polis mensasarkan untuk menahan 251,000 pemandu kereta yang tidak mengikut peraturan, pemandu kenderaan berat serta penunggang motosikal dalam fasa pertama Ops Cantas Trafik.
Notis juga telah dikeluarkan kepada pesalah trafik, memaklumkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap mereka.
Pada masa yang sama, waran yang tamat tempoh juga akan diperbaharui.
"Kami sedang bekerja sama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengesan alamat individu berkenaan bagi memastikan 251, 273 pesalah trafik ini menerima notis," kata Pemangku Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Fuad Abdul Latiff.
Sekiranya anda mempunyai saman trafik tertunggak, beliau menasihatkan agar anda membayarnya walaupun anda tidak menerima sebarang notis atau waran tangkap.
"Anda boleh membayarnya atau mencabar saman tersebut di mahkamah sekiranya anda merasakan ia dikeluarkan secara tidak betul," katanya kepada The Star.
Kesalahan trafik termasuklah tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu atau memotong barisan.
Pada fasa pertama pemeriksaan mengejut diadakan, seramai 77 pemandu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan trafik sementara 15 individu lagi ditahan kerana terlibat dengan kegiatan jenayah seperti rasuah, membawa barang atau kenderaan curi atau menyeludup mahupun mengedar dadah, kata Mohd Fuad.
Daripada 13 Oktober hingga 18 November, polis telah memeriksa 112, 382 orang dan 124, 557 kenderaan termasuk 39, 046 motosikal dan 62, 921 kereta.
Mohd Fuad turut menjelaskan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tidak termasuk dalam operasi berkenaan.
Dalam fasa kedua, bermula minggu hadapan, sekatan jalan raya akan dilakukan di seluruh negara untuk menahan pemandu yang melanggar undanh-undang, katanya.
Sekiranya ditahan dalam sekatan jalan raya, pemandu berkenaan akan di bawa ke balai polis, sekiranya dia enggan membayar saman tersebut dia akan dibebaskan dengan jaminan polis serta seorang penjamin.
Pihak polis akan memohon tarikh baru daripada mahkamah bagi individu yang igin mencabar atau merayu hukuman denda yang lebih rendah.
Mohd Fuad berkata sekatan jalan raya yang dilakukan turut digunakan untuk menangkap penjenayah.
"Anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayahj Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil serta Bahagian Jenayah Berat akan turut serta dalam beberapa sekatan jalan raya bersama dengan pasukan polis trafik," katanya.
Sementara itu, pegawai polis Bukit Aman yang bertanggungjawab dalam pengeluaran waran tangkap dan pengeluaran saman, Timbalan Supritendan S. Markandan berkata pemandu boleh menyemak saman tertunggak mereka di laman web, www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.
"Anda juga boleh menyemaknya di mana-mana kaunter polis trafik, pejabat pos, mesin ATM Maybank, beberapa pusat beli belah terpilih dan cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Dengan notis diserahkan terdapat pelbagai cara untuk menyemak saman, anda tidak boleh kata tidak tahu mengenainya."
Ketua Penguatkuasa Polis Trafik Bukit Aman, Supritendan Bon Jeen Ahrom menggesa pemandu yang ditahan dalam sekatan jalan raya agar bersabar dan memberi kerjasama dengan pihak polis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...