Sabtu, 2 November 2013

Jangan lindungi penjenayah

Jangan lindungi penjenayah
PASIR PUTEH - Polis menyelar sikap sesetengah masyarakat yang melindungi penjenayah dan menyembunyikan aktiviti mereka daripada polis hanya kerana mengenali atau bersaudara dengan penjenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, tindakan itu akan menyebabkan jenayah semakin subur dan membawa keburukan kepada masyarakat serta diri sendiri.

Katanya, mereka yang melakukan jenayah kecil akan terdorong melakukan jenayah besar seperti membunuh sekiranya perbuatan mereka tidak dibendung daripada awal.

“Kita kenal suspek yang melakukan jenayah kecil di kampung kita tapi kita tidak melaporkannya kepada polis kerana mengenalinya sehinggalah suspek melakukan jenayah besar, ini masalah besar sebenarnya dan pemikiran sebegini mesti diubah.

“Lebih mengecewakan, ada yang memberi alasan tidak melaporkannya kepada polis dengan mengatakan polis tidak memberi perhatian kepada kes kecil,” katanya pada Majlis Perjumpaan Ketua Polis Daerah Bersama Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS), malam kelmarin.

Majlis di Dewan Impiana, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh itu dihadiri Pegawai Perpaduan Kota Bharu/Pasir Puteh/Bachok, Nazri Mohamed; Penolong Pegawai Perpaduan Pasir Puteh, Norma Daud dan pengerusi KRT di daerah ini.

Mohd Kamal berkata, pihak polis sentiasa bersedia membantu memperkasakan SRS kerana ia membantu mengurangkan kadar jenayah, bagaimanapun katanya, anggota SRS mesti bertindak mengikut peraturan.

"Anggota SRS mesti mengetahui bidang kuasa mereka dan tidak sesekali bertindak mengikut emosi sehingga mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.

“Kita tidak mahu lagi berlaku kes anggota SRS memukul suspek sehingga mengalami kecederaan teruk atau meninggal dunia dan akhirnya anggota terbabit dituduh di mahkamah.


“Setiap orang termasuk penjenayah mempunyai hak, kita tidak boleh bertindak sembarangan dan apa  yang penting adalah berusaha mencegah jenayah itu sendiri serta mesti berani melaporkannya kepada polis,’ katanya.

Sumber:sinarharian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...