Selasa, 24 Disember 2013

Minta, terima suapan daripada tahanan

Minta, terima suapan daripada tahanan

KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak salah di mahkamah sesyen di sini, semalam, atas tuduhan meminta dan menerima suapan dari seorang pesalah dadah, tahun lalu.

Tuduhan terhadap anggota yang bertugas di sebuah balai di Tumpat itu dibuat di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Marzuki Ibrahim, 33, dari Kampung Kelaboran didakwa pada tuduhan pertama bersetuju menerima rasuah RM50 daripada Tan Jeoy Lai sebagai dorongan tidak diambil tindakan terhadap lelaki itu.

Jeoy Lai dipercayai gagal lapor diri mengikut perintah Pengawasan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sementara pada tuduhan kedua, Marzuki didakwa cuba memperoleh suapan berjumlah RM300 daripada lelaki sama atas dorongan yang sama.
Kesalahan dilakukan di Jalan Pasir Pekan pada jam 4 petang, 22 Mei, namun, tertuduh menafikan kesemua tuduhan itu.

Susulan daripadanya, Mohd Yusoff menangguhkan kes untuk pengurusan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000. Dia kemudian membayar jaminan itu.

Kes bersambung 26 Januari depan. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Sophian Zakaria.


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...