Ahad, 8 Disember 2013

Pikat belia Cina sertai polis

Gambar hiasan
HULU KINTA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengharapkan penyertaan kaum bukan Melayu terutama Cina dalam pasukan beruniform agar dapat memperkasakan perkhidmatan mereka kepada rakyat berbilang kaum.

Pengarah Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Wira Mortadza Nazarene berkata,  jumlah penyertaan kaum Cina dalam pasukan berkenaan masih rendah berbanding Melayu.

Menurutnya, penyertaan mereka akan dapat memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan terutama semasa berkomunikasi dengan kaum mereka.

“Walaupun PDRM mempunyai ramai pegawai dalam kalangan kaum Cina namun, tidak ramai belia kaum itu menyertai anggota berpangkat rendah.

“Penyertaan mereka amat sedikit walaupun pelbagai usaha  dibuat. Ia menjadikan ketidakseimbangan antara pihak berkuasa dengan populasi kaum Cina di negara ini,” katanya selepas menyampaikan amanat kepada 77 peserta Kursus Asas Konstabel Orang Asli Siri 2/2013 di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 77 Orang Asli bakal menjalani kursus asas konstabel selama enam bulan yang tertumpu kepada aspek undang-undang, demonstrasi dan  juga praktikal.

Mortadza berkata, pemuda Orang Asli kini berpeluang memajukan diri dalam badan beruniform malahan mereka turut mempunyai skim khas.


“Walaupun kemasukan berbeza namun, belia Orang Asli  berpeluang memajukan diri dalam pasukan polis sama seperti anggota lain. Pasukan beruniform ini boleh dijadikan karier pilihan mereka menerusi kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).


“Sambutan amat menggalakkan dan dengan pertambahan anggota berkenaan, saya yakin dapat membantu polis mengurangkan kadar jenayah selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan mereka,” katanya.

Sumber:sinarharian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...