Khamis, 2 Januari 2014

6 penyamun kebas 30 komputer sekolah

Kuala Lumpur: Akibat tidak membenarkan pengawal keselamatan membuat rondaan di tingkat atas bangunan, sebuah sekolah di Setapak di sini, kerugian lebih RM10,000 apabila 30 komputer dilarikan sekumpulan enam perompak bertopeng, kelmarin.
Harian Metro difahamkan, dalam kejadian antara jam 1 hingga 3 pagi itu, terdapat dua pengawal keselamatan berusia 30-an sedang bertugas, namun tidak menyedari kehadiran kumpulan penjenayah terbabit.
Menurut sumber, pengawal keselamatan tidak dibenarkan pentadbiran sekolah untuk melakukan rondaan di tingkat atas bangunan, sebaliknya hanya diarah melakukan pemantauan di kawasan sekitar.

Katanya, kesempatan itu digunakan kumpulan penjenayah berkenaan untuk menceroboh dengan mengumpil gril dan memasuki makmal komputer untuk melarikan peralatan berkenaan.
“Kumpulan yang dipercayai bersenjata itu kemudian melarikan 30 komputer dianggarkan bernilai lebih RM10,000,” katanya.

Sumber itu berkata, kehilangan komputer berkenaan hanya disedari pihak sekolah jam 8 pagi semalam.

“Berikutan itu, satu laporan mengenai kehilangan itu dibuat di Balai Polis Setapak,” katanya.
Menurutnya, polis sudah merekodkan percakapan dua pengawal keselamatan sekolah berkenaan selain kakitangan pentadbiran sekolah.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya kumpulan penjenayah itu sudah melakukan pemantauan sejak beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan kumpulan penjenayah berkenaan giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...