Isnin, 6 Januari 2014

Pegawai Kanan Maritim Cedera Ditembak Dua Lelaki Motif Samun

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) cedera di perut selepas ditembak oleh dua lelaki dalam kejadian di lebuh raya berhampiran Puchong, Sabtu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shukri Dahlan ketika mengesahkan kejadian, berkata dua suspek terbabit turut melarikan kereta bersama-sama isteri mangsa yang kemudian ditinggalkan tanpa sebarang kecederaan di sebuah stesen minyak di Bangi.
Dalam kejadian 11 pagi itu, Nazaruddin Mat Ali, 35, yang bertugas sebagai Pengarah Pentadbiran Bahagian Kewangan Maritim di Kuantan dan isteri Alawiyah Haron, 35, seorang eksekutif syarikat swasta, dalam perjalanan dari Shah Alam ke Semenyih.
Kereta yang dipandu mangsa kemudian dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta lain dan ketika mangsa keluar untuk berbincang mengenai kemalangan itu, seorang daripada suspek tiba-tiba melepaskan sedas tembakan yang mengenai bahagian kiri perut mangsa, katanya di sini Ahad.
Menurut Shukri, suspek kemudian melarikan kereta itu bersama-sama Alawiyah yang kemudian ditinggalkan selepas suspek menyamun beg tangan, telefon bimbit,rantai leher dan gelang tangannya.
"Kereta Honda Accord milik mangsa ditemui semula di Jalan Persiaran Bangi di simpang masuk Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi pada petang hari kejadian," katanya.
Shukri berkata, polis percaya kejadian bermotifkan samun dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Menurutnya mangsa yang dirawat di Hospital Serdang dilapor dalam keadaan stabil.
Sementara itu, keluarga mangsa yang ditemui Bernama di Hospital Serdang enggan ditemu bual. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...