Selasa, 14 Januari 2014

Pengurus kilang disamun


BALIK PULAU - Seorang pengurus kilang yang sedang nyenyak tidur bersama keluarga di kediamannya mengalami kerugian kira-kira RM50,000 apabila disamun tiga lelaki awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zin berkata, dalam kejadian pada jam 4.30 pagi itu, mangsa yang berusia 44 tahun sedang tidur bersama isterinya manakala dua anak perempuannya tidur di bilik berasingan di rumah tiga tingkat di Lintang Bukit Penara, dekat sini.

“Dari keterangan mangsa, ketika dia sedang nyenyak tidur, ada tiga lelaki yang memakai topeng menyerbu masuk ke dalam bilik lalu mengikat tangan mangsa dan isterinya.

Suspek turut mengikat tangan kedua-dua anak mangsa. Suspek kemudiannya meminta mangsa supaya tidak melawan dan menyerahkan kesemua barangan berharga.

“Mangsa yang ketakutan kemudiannya menyerahkan beberapa barang berharga termasuk wang tunai bernilai RM12,000, tiga buah telefon bimbit, berlian dan barang kemas bernilai RM17,000, jam tangan berjenama, komputer riba dan kamera digital,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an namun mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana bertopeng.

“Melalui percakapan mereka, mangsa pasti kesemua suspek adalah warga Indonesia. Ketiga-tiganya berbadan kurus dengan ketinggian lebih kurang 165 sentimeter (cm).

Siasatan mendapati, tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera dipasang di rumah mangsa.


“Ketiga-tiga suspek dipercayai masuk dan keluar dari rumah mangsa melalui pintu kaca yang diumpil. Suspek juga menggeledah kelima-lima bilik serta ruang tamu rumah mangsa. Jabatan Forensik dan Unit K9 diarahkan menjalankan siasatan ditempat kejadian,” katanya.

Mohd Hatta berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sumber:sinarharian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...